
PETALING JAYA: Seorang lelaki Orang Asli ditemukan maut selepas dipercayai sesat ketika mencari buluh di Bukit Damansara di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.42 malam itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dikejarkan ke lokasi.
Pengarah Bomba Selangor, Morni Mamat berkata, mangsa berusia 48 tahun dikatakan telah keluar dari rumah pada pukul 8 pagi dan sepatutnya pulang pada 2 petang.
“Bagaimanapun sehingga pukul 8 malam, ahli keluarga memaklumkan mangsa yang mempunyai sejarah penyakit jantung masih belum pulang ke rumah.
“Pihak bomba yang tiba di lokasi menemukan motosikal mangsa dan usaha mencari dijalankan bersama ketua komuniti dan penduduk Kampung Desa Temuan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa akhirnya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 11.33 malam di atas bukit dalam jarak kira-kira 300 meter dari lokasi motosikalnya.
Katanya, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital. – UTUSAN
The post Lelaki Orang Asli maut ketika cari buluh appeared first on Utusan Malaysia.