Hospital UCSI di N. Sembilan tawar khidmat bedah kardiotorasik 

1 month ago 70

PORT DICKSON: Hospital UCSI di Bandar Springhill di sini menjadi hospital pertama di Negeri Sembilan menyediakan perkhidmatan pembedahan  kardiotorasik berkaitan dengan rawatan jantung dan paru-paru.

Konsultan Kanan Pusat Jantung dan Paru-Paru Hospital UCSI, Prof. Datuk Dr. Zainuddin Md. Wazir berkata, perkhidmatan disediakan berkualiti selaras dengan visi untuk menjadikan pusat perubatan swasta antara yang terbaik di Malaysia dan Asia Tenggara dalam  perkhidmatan kardiotorasik.

“Dalam masa lima tahun, kami jangkakan Pusat Jantung dan Paru-Paru ini akan menjadi yang terbaik di Malaysia dan Asia Tenggara, kita bukan sahaja ada tenaga pakar tetapi juga alatan canggih  serta kakitangan berdedikasi.

“Kami menjangkakan kehadiran pesakit bukan sahaja sekitar Negeri Sembilan, sebaliknya dari Melaka dan Selangor serta antarabangsa terutama Indonesia atas faktor lokasi hospital yang strategik,” kata beliau pada sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Perkhidmatan Pembedahan Kardiotorasik Pertama di Negeri Sembilan di Hospital UCSI, Bandar Springhill di sini hari ini.

Terdahulu, program tersebut telah dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Kumpulan UCSI, Datuk Peter Ng.

Zainuddin berkata, selain rawatan pembedahan pusat itu turut menawarkan perkhidmatan program pencegahan, pengesanan awal penyakit, pemakanan (diet) dan rehabilitasi kepada pesakit bagi mengurangkan risiko masalah jantung.

Sementara itu, Pakar Bedah Kanan Jantung dan Paru-Paru Hospital UCSI, Prof. Dr. Raja Amin Raja Mokhtar berkata, perkhidmatan yang diberikan adalah yang terbaik dan berkualiti melalui pasukan perubatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

“Tenaga pakar di sini sangat berpengalaman mereka pernah bekerja di Kuala Lumpur dan luar negara, kepakaran itu akan digunakan bagi memastikan perkhidmatan pembedahan kardiotorasik ini setanding dengan pusat perubatan lain dan menjadi yang terbaik dalam lima tahun akan datang,” katanya.- UTUSAN

The post Hospital UCSI di N. Sembilan tawar khidmat bedah kardiotorasik  appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article