HONG KONG: Pasukan forensik polis Hong Kong telah menemui apa yang mereka percaya sebagai kepala model dan sosialit media sosial, Abby Choi dalam sebuah periuk berisi sup.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan polis Hong Kong pada 26 Feb, unit forensiknya mengesahkan perkara itu, dua hari selepas mereka menemui sebahagian daripada anggota mayat mangsa di sebuah rumah di Kampung Lung Mei, yang terletak di Daerah Tai Po, lapor HK1.
Selain bahagian kepala, tambah laporan itu, forensik juga turut menemui beberapa tulang rusuk dalam periuk tersebut.
Menurut laporan itu juga, tengkorak itu masih agak utuh, namun dipercayai bahawa terdapat sekurang-kurangnya satu percubaan untuk menghancurkannya; dan rambutnya tidak lagi melekat pada tengkorak selepas memasak.
Forensik juga menemui sejumlah kecil daging cincang, bersama dengan lobak merah dan lobak hijau dalam periuk berkenaan.
Sehubungan itu, bekas suami mangsa, bersama abang dan ibu bapa lelaki itu telah ditangkap berkaitan dengan pembunuhan itu.
Terdahulu, di lokasi tersebut, polis telah menemui periuk sup berkenaan pada 24 Feb, yang dilaporkan hampir penuh, dandikesan terdapat daging cincang di dalamnya.
Pada ketika itu, pihak berkuasa hanya boleh mengesahkan bahawa terdapat tisu manusia di dalam periuk tersebut, yang kemudian telah dihantar untuk ujian pengesahan. – HARAKAHDAILY 27/2/2023